Bahagian paling sensitif di kalangan bayi baru lahir adalah pusatnya. Selama sembilan berada di dalam perut ibu, tali pusat bayi bersambung dengan uri yang berfungsi menyampaikan makanan kepada bayi.
Oleh itu penjagaan tali pusat bagi bayi baru lahir adalah penting. Untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang jangkitan, doktor biasanya membekalkan cecair pembersih beralkohol untuk membersihkan tali pusat bayi.
Cecair tersebut hendaklah disapukan di bahagian tali pusat pada setiap kali menukar lampin sehinggalah tali pusat itu gugur dengan sendiri. Biasanya tali pusat bayi gugur sendiri di antara 10 sehingga 13 hari.
Sepanjang tempoh tersebut, elakkan daripada terkena air di bahagian tali pusat bayi kerana dibimbangi lambat kering dan gugur. Sehinggalah tali pusat itu gugur, ia akan berubah warna daripada kuning kepada coklat atau hitam.
Sekiranya ia berwarna kemerahan atau mengeluarkan bau yang busuk, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Memiliki anak bukan halangan untuk anda dan suami menghabiskan masa bersama. Cipta ruang dan masa tersendiri. Semuanya anda yang menentukan.
Jangan jadikan alasan anak sebagai penghalang untuk perhubungan intim bersama suami berjalan seperti biasa. Mungkin sedikit panduan berikut mampu dimanfaatkan bersama:
*Masa itu emas. Walaupun hanya seminit, masa bersama pasangan sangat penting. Jadi, janganlah disia-siakan.
*Pastikan hujung minggu dikhaskan untuk bersama si dia tersayang.
*Sentiasa peka dengan persekitaran dan pandai mengambil kesempatan. Setiap waktu terluang, habiskanlah bersama cinta hati anda.
*Senaraikan aktiviti-aktiviti yang anda berdua gemari. Pilihlah yang masih boleh dilakukan walaupun anak ada bersama.
*Sekali-sekala, upahlah penjaga atau minta tolong saudara-mara untuk menjaga anak sementara anda berdua meraikan majlis istimewa seperti makan malam sempena ulang tahun perkahwinan yang tentunya sungguh bermakna dalam hidup.
Meroyan atau kemurungan selepas bersalin adalah satu masalah yang biasa. Meroyan kadangkala disalah anggap sebagai murung bayi. Jika anda menghidapi murung bayi, pada hari-hari pertama selepas melahirkan anda akan menjadi muram, sering menangis, letih dan rasa tertekan.
Ini disebabkan perubahan hormon secara mendadak dalam badan ibu. Bagaimanapun dengan bantuan yang sesuai, ibu boleh berasa lebih sihat dalam beberapa hari. Namun, meroyan tidak seperti murung bayi, ia satu penyakit yang tidak boleh sembuh tanpa rawatan.
Tanda dan simptom meroyan berbeza bagi setiap ibu. Antaranya:
*perasaan putus asa
*bersalah
*amat letih
*muram
*sering menangis
*sunyi
*gelisah
Semua ibu merasakan satu atau lebih perasaan pada masa-masa tertentu. Tetapi, jika ibu merasa tidak berdaya dan perasaan tersebut tidak hilang walaupun masa terus berlalu, anda mungkin menghidap meroyan atau kemurungan postpartum.
Biasanya perasaan tersebut wujud apabila bayi berusia antara empat hingga enam minggu tetapi adalanya ia bermula beberapa bulan selepas dia dilahirkan. Sebelum itu ibu berasa gembira menjaga bayi baru lahir, kemudian perasaan kemurungan datang secara tiba-tiba.
Punca meroyan
*Kemurungan atau masalah sakit mental terdahulu atau kemurungan semasa kehamilan.
*Suami kurang menyokong atau tidak mempunyai keluarga atau kawan-kawan yang tinggal berdekatan.
*Masalah kewangan, perumahan, kerja.
*Kelahiran yang rumit dan masalah kesihatan yang menyusul selepas itu.
*Melahirkan bayi pramatang atau tidak sihat.
*Kesukaran untuk menyusu badan.
*Memori sedih yang diingat kembali seperti kematian salah seorang
Ketika melalui kesakitan kontraksi, penting bagi ibu untuk bernafas dengan betul agar rasa kesakitan dapat diminimumkan.
Sewaktu berlatih bernafas, anda perlu tarik masuk dan hembus keluar nafas seperti biasa secara perlahan-lahan. Ini penting kerana walaupun menghadapi kontraksi, anda dapat memastikan udara dapat masuk ke bahagian atas paru-paru.
Suami yang turut berada di sisi perlu meletakkan tangannya pada tulang belikat sambil merasai pergerakan tulang tersebut.Nafas yang dalam diperlukan untuk memberi ketenangan. Untuk itu, anda perlu duduk dalam keadaan selesa lalu menarik nafas secara dalam melalui hidung terus ke bahagian bawah paru-paru.
Suami ketika itu perlu meletakkan tangan pada bahagian atas garis pinggang dan merasakan tulang rusuk bergerak. Setelah itu, tumpukan perhatian pada pernafasan keluar secaa perlahan-lahan. Biarkan tarikan nafas dilakukan secara semula jadi. Dengan berlatih menggunakan teknik ini, anda pasti berupaya untuk menenangkan diri walaupun sedang bertarung dengan kesakitan kontraksi.
Peranakan jatuh yang lebih dikenali sebagai prolapse atau rahim turun boleh berlaku jika terdapat kelemahan pada otot pelvik yang menampung kedudukan rahim atau jika ada tekanan tinggi dalam abdomen yang boleh menyebabkan rahim turun atau berada di luar lubang faraj.
Antara kesan masalah peranakan jatuh ialah:
1. Gangguan kencing
Ramai wanita yang mengalami masalah prolapse akan berhadapan dengan masalah kencing sama ada sukar untuk kencing atau terlalu kerap kencing. Paling ketara ialah mereka sukar mengawal kencing terutama ketika batuk, bersin atau melakukan aktiviti yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa
2. Gangguan hubungan kelamin
Disebabkan berlakunya kelonggaran pada faraj terutamanya pada otot yang memegang faraj maka kekuatan mengemut ketika mengadakan hubungan kelamin akan berkurangan.
3. Sakit pinggang dan tidak selesa
Peranakan jatuh akan menyebabkan seseorang wanita itu rasa tidak selesa kerana ada sesuatu iaitu rahim terkeluar daripada farajnya. Keadaan ini lebih dirasai jika dia banyak berjalan atau berdiri. Oleh kerana peranakan yang jatuh itu menarik otot-otot sekitarnya, sering kali urat-urat pada bahagian pinggang juga akan tertarik lalu menyebabkan penghidapnya sakit pinggang.
4. Gangguan kesihatan
Jika prolapse yang dialami itu teruk iaitu apabila keseluruhan rahim terkeluar, selalunya pintu rahim akan tergesel pada seluar dalam lalu menyebabkan luka. Luka ini biasanya akan dijangkiti kuman yang menyebabkan keputihan atau pengeluaran lender yang banyak.
Kita sedia maklum fungsi air ketuban adalah untuk melindungi bayi dalam kandungan. Apabila air ketuban pecah, ia adalah petunjuk ibu semakin hampir untuk bersalin.
Air ketuban pecah awal juga boleh terjadi biarpun ia jarang berlaku. Ia boleh pecah pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Apabila ibu hamil mengalami pecah air ketuban awal di tempat awam, usah panik!
Oleh itu penting bagi ibu hamil untuk mengetahui ciri-ciri air ketuban supaya mereka bersedia jika air ketuban pecah berlaku pada diri sendiri.
Sebenarnya apabila ketuban pecah dan air mengalir keluar, ia tidak akan mengalir dengan banyak dan laju. Biasanya ia dimulakan dengan sedikit ‘kebocoran’ dan mengalir sedikit demi sedikit kerana kepala bayi yang sudah berada di laluan akhir seolah-olah menghalang pengalirannya lebih laju.
Apabila ibu menghadapi situasi begini, segera hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat seterusnya. Justeru itu, penting bagi ibu hamil menyimpan nombor telefon doktor sakit puan yang memeriksa anda. Jika masalah air ketuban pecah awal atau kebocoran berlaku tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku seterusnya memberi kemudaratan kepada bayi dalam kandungan.
Saat mengalami masa morning sickness di awal kehamilan, mungkin ada yang berasa tidak selesa menikmati kehamilan. Jangan cepat putus asa. Ada banyak sebab mengapa anda perlu menikmati saat kehamilan yang cukup bermakna.
1. Kenanglah saat-saat awal ketika baru tahu rahsia istimewa itu. Raikanlah berdua kerana ia pasti menjadi memori indah perkahwinan anda.
2. Wah, anda ada sembilan bulan untuk merancang, bermimpi dan berangan tentang gelaran baru yang bakal disandang.
3. Seronoknya menjadi mama hamil kerana berpeluang memilih pelbagai pakaian mengandung yang cantik.
4. Kini anda ada alasan yang baik untuk memanjakan diri.
5. Inilah masa untuk menikmati makanan yang diinginkan asalkan selamat untuk ibu dan anak. Jadi kalau berat badan meningkat pun anda tidak perlu rasa bersalah kerana ibu hamil memang perlu naik berat badan!
6. Jika hamil anak pertama, nikmatilah sembilan bulan dengan tidur dan rehat secukupnya kerana selepas bayi lahir, tiada lagi bangun lewat atau berehat sesuka hati dalam kamus hidup anda.
7. Jika berada di tempat awam, anda pasti mendapat layanan istimewa sebagai ibu hamil.
8. Jangan terkejut, kerana perhatian istimewa diberikan oleh suami, ibu mertua, kawan-kawan dan ahli keluarga lain.
9. Paling istimewa saat merasakan tendangan si kecil dari dalam perut anda. Nikmati peluang itu!
10. Cuti bersalin di mana anda mempunyai dua bulan (atau tiga bulan jika anda penjawat awam) untuk bersama-sama dengan bayi anda.