Sunday 25 August 2013

3 Masalah Penyusuan

 Beberapa langkah mudah untuk meningkatkan bekalan susu ibu.

Sebagai ibu yang baru menimang cahaya mata, anda semestinya menginginkan yang terbaik untuk si manja anda. Anda merasa bangga bila si manja mula menyusu dan menerima pemberian anda yang tidak terhingga nilai itu. Tetapi, apa yang akan berlaku jika anda tidak berupaya untuk menghasilkan susu yang secukupnya untuk si manja?

1. “Mengapa susu saya tidak mencukupi?”

Untuk menghasilkan susu ibu yang secukupnya, anda perlu bermula awal dengan menyusu bayi anda dalam jam pertama kehidupannya. Penyusuan pertama bukan sahaja akan memastikan bayi anda stabil dan selesa, ia juga memulakan penghasilan susu dan membina rutin penyusuan dan penghisapan. Apabila anda menyusu bayi anda, sensasi di payudara akan menghantar isyarat ke otak untuk melepaskan dua jenis hormon – prolaktin dan oksitosin. Prolaktin merangsang payudara untuk menghasilkan susu manakala oksitosin merangsang pengaliran susu. Maka, untuk menghasilkan lebih susu, lebih hormon penyusuan diperlukan. Dengan menyusu anak anda dengan lebih kerap, lebih hormon penyusuan akan dihasilkan.

2. “Tolong! Aliran susu saya semakin berkurangan!”

Untuk menjamin aliran susu anda sentiasa mencukupi, anda perlulah menyusukan anak anda secara kerap dan betul. Bermulalah dengan menyusukan anak anda setiap dua jam sebaik sahaja anda dihantar ke wad selepas bersalin. Setelah anda mula bekerja semula, anda dinasihatkan untuk menyambung amalan menyusukan anak anda. Jika perlu, perah susu anda di tempat kerja. Pemberian makanan tambahan seperti susu formula, air atau makanan dan minuman pada 6 bulan pertama kehidupan dan penggunaan puting akan mengurangkan penghisapan susu oleh anak anda, lalu mengganggu penghasilan susu anda.

3. “Bagaimana akan saya tahu jika saya menghasilkan susu ibu yang secukupnya?”

Anak anda mendapat susu yang cukup jika dia berasa berpuas hati selama kira-kira satu jam selepas penyusuan. Selain itu, berat badan anak anda juga akan meningkat sebanyak 20 gram sehari selepas minggu pertama hidupnya jika diberikan susu ibu yang secukupnya. Satu lagi cara untuk mengetahui jika anda menghasilkan susu yang cukup untuk anak anda adalah dengan memeriksa sisa buangannya. Anak anda akan membuang air kecil sebanyak 5 atau 6 kali sehari dan membuang air besar kira-kira 3 hingga 8 kali sehari pada bulan pertama hidupnya.

Oleh Dr Koe Swee Lee, Pakar Pediatrik & Laktas





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...